Isnin, September 05, 2011

Melodi Famili (Episod 3) : Sendu Malam Raya (Bhg3)

"Pergilah..." suara Umi masih tak berubah rentak.

Ismail melangkah ke pintu, lambat-lambat. Umi sedikit pun tidak mahu berpaling.

Tanpa pamitan, Ismail pergi.

Isma terduduk di bawah sinki. Air mata berjujuran laju. Eil, sampai hati kau.... Hati terasa pedih. Macam ada duri menghiris-hiris.

Isma gagahkan juga tangan menghabiskan basuhan di singki. Dikuatkan hati untuk tidak terus menangis.

Suasana rumah sunyi sepi. Umi tiba-tiba kembali masuk ke bilik air. Lama Umi di dalam bilik air. Isma tahu, Umi menangis.

Jam baru sahaja pukul 9 malam. Isma ambil wudhu'. Solat 'Isya disegerakan. 'Mood' hari raya mati terus.

Sewaktu Isma pakai telekung, Isma dengar suara Umi mengesak tangis. Umi baru sudah solat masa Isma masuk ambil telekung tadi. Isma jenguk bilik Umi. Nampak Umi menadah tangan dengan bahu terhinggut-hinggut.

Isdina di depan televisyen dikerling. Si adik yang konon berlagak beku tadi, turut sama mengesat air mata walau matanya masih terpaku depan peti hitam itu.

Isma tutup  pintu bilik. Isma duduk atas sejadah. Kaki terasa tak mampu nak berdiri. Air mata terasa amat murah. Ya Allah... Ujian apakah ini?


*****

"Angah mana, Long?" soal Iskandar yang baru balik dari surau.

"Kau ni..." Isdina tarik tangan Iskandar. Direntap Iskandar kasar ke dalam bilik. 

"Kau jangan sebut-sebut nama Angah lagi lepas ni depan Umi dengan Baba..." Isdina memberi amaran keras.

Iskandar angguk lambat-lambat. Wajah Isma ditatap. Isma buat beku. Air mata sudah kering. 

"Mana?" soal Baba pada Umi.

Umi angkat bahu. 

"Entah... katanya nak keluar kejap... Nanti dia balik..." suara Umi. Acuh tak acuh. Baba angguk. Pura-pura faham.

"Jom..." suara Baba mencuit bahu Umi.

"Pergi mana?" soal Umi. Pelik.

"Kata nak cari lemang... Esokkan raya..." suara Baba. Umi senyap seketika. Wajah Isma dipandang.

Isma pura-pura sengih lebar.

"Nak ikut laaaa..." suara Isma.

"Jom, siap..." Umi cuit Isdina.

"Kalau Angah balik?" ada harapan tak berpenghujung di wajah Isdina. 

Sepi.

Sunyi.

Suara kipas dan TV sahaja yang kedengaran.

"Ermmm... Kak Long tinggal laaa dengan Dina...  Mana tahu, kalau-kalau Cik Senah datang hantar baju raya..." dalih Umi. Melindung rasa hati sendiri.

Isma faham maksud Umi. Yang sebenarnya Umi mahu katakan begini, Manalah tahu, kalau-kalau Angah balik. Nanti tiada siapa-siapa buka pintu.

Isma pandang Isdina. Isdina pandang Isma.

Malam Raya. Muka pura-pura gembira. Tapi, sendu dan luka dalam hati, hanya Yang Esa dan Maha Kuasa sahaja yang tahu.





*tamat Melodi Famili: Sendu Malam Raya*

1 ulasan:

  1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

    BalasPadam

Komen yang bersifat menyakitkan hati, tidak akan dilayan... Terima kasih...

PeNoNtOn FiLeM...

Related Posts with Thumbnails

eN. bLoG pUnYa BiRtHdAy...

Daisypath Anniversary tickers