Memaparkan catatan dengan label Melodi Famili. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Melodi Famili. Papar semua catatan

Isnin, September 05, 2011

Melodi Famili (Episod 3) : Sendu Malam Raya (Bhg3)

"Pergilah..." suara Umi masih tak berubah rentak.

Ismail melangkah ke pintu, lambat-lambat. Umi sedikit pun tidak mahu berpaling.

Tanpa pamitan, Ismail pergi.

Isma terduduk di bawah sinki. Air mata berjujuran laju. Eil, sampai hati kau.... Hati terasa pedih. Macam ada duri menghiris-hiris.

Isma gagahkan juga tangan menghabiskan basuhan di singki. Dikuatkan hati untuk tidak terus menangis.

Suasana rumah sunyi sepi. Umi tiba-tiba kembali masuk ke bilik air. Lama Umi di dalam bilik air. Isma tahu, Umi menangis.

Jam baru sahaja pukul 9 malam. Isma ambil wudhu'. Solat 'Isya disegerakan. 'Mood' hari raya mati terus.

Sewaktu Isma pakai telekung, Isma dengar suara Umi mengesak tangis. Umi baru sudah solat masa Isma masuk ambil telekung tadi. Isma jenguk bilik Umi. Nampak Umi menadah tangan dengan bahu terhinggut-hinggut.

Isdina di depan televisyen dikerling. Si adik yang konon berlagak beku tadi, turut sama mengesat air mata walau matanya masih terpaku depan peti hitam itu.

Isma tutup  pintu bilik. Isma duduk atas sejadah. Kaki terasa tak mampu nak berdiri. Air mata terasa amat murah. Ya Allah... Ujian apakah ini?


*****

"Angah mana, Long?" soal Iskandar yang baru balik dari surau.

"Kau ni..." Isdina tarik tangan Iskandar. Direntap Iskandar kasar ke dalam bilik. 

"Kau jangan sebut-sebut nama Angah lagi lepas ni depan Umi dengan Baba..." Isdina memberi amaran keras.

Iskandar angguk lambat-lambat. Wajah Isma ditatap. Isma buat beku. Air mata sudah kering. 

"Mana?" soal Baba pada Umi.

Umi angkat bahu. 

"Entah... katanya nak keluar kejap... Nanti dia balik..." suara Umi. Acuh tak acuh. Baba angguk. Pura-pura faham.

"Jom..." suara Baba mencuit bahu Umi.

"Pergi mana?" soal Umi. Pelik.

"Kata nak cari lemang... Esokkan raya..." suara Baba. Umi senyap seketika. Wajah Isma dipandang.

Isma pura-pura sengih lebar.

"Nak ikut laaaa..." suara Isma.

"Jom, siap..." Umi cuit Isdina.

"Kalau Angah balik?" ada harapan tak berpenghujung di wajah Isdina. 

Sepi.

Sunyi.

Suara kipas dan TV sahaja yang kedengaran.

"Ermmm... Kak Long tinggal laaa dengan Dina...  Mana tahu, kalau-kalau Cik Senah datang hantar baju raya..." dalih Umi. Melindung rasa hati sendiri.

Isma faham maksud Umi. Yang sebenarnya Umi mahu katakan begini, Manalah tahu, kalau-kalau Angah balik. Nanti tiada siapa-siapa buka pintu.

Isma pandang Isdina. Isdina pandang Isma.

Malam Raya. Muka pura-pura gembira. Tapi, sendu dan luka dalam hati, hanya Yang Esa dan Maha Kuasa sahaja yang tahu.





*tamat Melodi Famili: Sendu Malam Raya*

Melodi Famili (Episod 2) : Sendu Malam Raya (Bhg2)

Ismail senyap. Wajah Isma yang beranak sungai dipandang serba salah. Isma kelu. Tidak terkata.

"Umi..." Isma genggam tangan Umi. Seram sejuk tangan Umi menahan marah dalam hati.

"Aku tunggu kau, Eil..." suara Umi sebak.

"Aku tahan air mata setiap kali jiran-jiran... saudara-mara bertanyakan kau... Rasanya, dah sebal hati aku menipu semata-mata nak tutup aib keluarga kita..." suara Umi perlahan. Hujung baju kaftan ditarik, menngesat air mata yang mengalir.

Ismail gigit bibir. Masih membisu. Membatu.

"Kau pernah nak tanya khabar kami sekeluarga? Pernah?" soal Umi. Matanya ditala tajam ke wajah Ismail.

"Umi... Eil..."

"Eil apa? Kau ingat Baba kau hantar sms kata nak pinjam duit RM500 tu, main-main?" soal Umi kasar.

"Aku terkejut baca mesej Baba dalam handphone.. Baba merayu... Nak pinjam RM500 sebab nak bayar bil air dan bil elektrik pada kau... Nyaris rumah ni nak kena potong api airnya..."

Wajah Ismail sedikit terkejut.

"Kau kata kau nak bagi... Tunggu 25hb... Tapi, sampai sudah..." Umi menggeleng kesal.

"Tup-tup... Kau hantar sms... Mintak pinjam duit beribu-ribu dekat Baba kau... Kau pernah kisah kami dekat rumah ni, makan apa?" soal Umi.

"Kakak kau... Adik-adik kau... Rasanya, berlapar 2-3 hari tu perkara biasa dekat hostel... Ada kau kisah? Ada kau ambil peduli... Yang kau kisahkan... Bini kau... Mak bapak dia... Kau sanjung... Kau puja... Kau tatang..." keluh Umi. Kecil hati. Jauh hati.

"Pergilah, Eil... Aku tak nak tengok muka dia... Hari baik, bulan baik ni... Kau pergilah... Jangan kau jejak kaki ke rumah ni kalau kau nak bawa masuk dia..."

Umi terus ke dalam bilik. Baba keluar bilik. Mencapai kunci untuk ke surau.

"Jom, Is... Solat 'Isya..."

Kehadiran Ismail sikit pun tidak mencuit hati Baba.

"Baba..."

Baba buat tak endah. Namun, Baba berhenti seketika di muka pintu.

"Fikirlah, Eil... Kau renung hidup kau sekarang... Berkat ke tanpa restu ibu bapa?" Baba berkata sebaris sebelum melangkah pergi.

Suasana sepi. Ismail pandang wajah Isdina. Isdina pura-pura tenang. Beku dengan situasi. Televisyen dipasang. Ditonton penuh minat.

"Kak..." Perhatian Isma cuba diraih. Isma bangkit. Segera ke dapur. Namun, gigilan badannya masih tak sudah. Marah dalam hati dirasakan membuak.

"Umi..." Ismail cuba menarik tangan Umi.

"Pergi... Pergi..." Umi tepis tangan Ismail berkali-kali.

"Kalau macam ni, kenapa suruh Eil balik?"

Muka Umi merah padam.

"Bukan aku yang suruh kau balik... Aku tak suruh pun kau balik... Dina yang sms kau... Kau cakaplah dengan Dina..." suara Umi marah.

"Umi..." Ismail sedikit membentak.

"Kau tak balik pun tak apa, Eil, kalau dengan perempuan tu..." suara Umi.

Ismail gigit bibir. Terasa payah meraih hati si ibu.

"Umi..."

"Kalau kau nak balik... Kau balik seorang... Aku tau kau seorang je... Bukan dengan dia..." Umi bertegas.

Ismail tarik nafas panjang.

"Eil pergi kejap, Umi... Nanti, Eil balik..."





*bersambung*

Selasa, Ogos 30, 2011

Melodi Famili (Episod 1) : Sendu Malam Raya

Esok raya... Hati Isma terdetik. Tangan masih ligat dengan pinggan mangkuk sisa berbuka tadi. Telinga tajam mendengar pengumuman raya. Sekilas senyum pahit digarit. Berlima... Bukan berenam... Keluhan kecil dilepaskan.

"Allahuakbar Allah~" suara si kecil Iskandar melaungkan takbir raya dari depan muka pintu kedengaran nyaring.

"Alang... esok raya kan?" soal Iskandar. Isdina yang sedang menyapu sampah pura-pura mencebik.

"Raya lusa... Bukan esok..." suara Isdina. Sengaja mengusik Iskandar.

"Alang tipu... Umi!!!!" Iskandar menjerit memanggil Umi.

"Raya bila, Umi?" soal Iskandar.

"Esok..." jawab Umi sepatah. Mata Umi menatap kuah lemak ikan kembung di atas meja. Isma menangkap renungan mata sayu Umi.

Iskandar sengih. Segera ke depan.

"Alang tipu!!!" juih Iskandar. Isdina mengekeh ketawa. Baba menggeleng-gelengkan kepala.

"Hahahaha... Semua orang tak boleh raya... Sebab baju Is je yang siap... Baju semua orang tak siap lagi..." ejek Iskandar.

"Elleh...  Macam tak de baju lain... Lagipun, kita tak pergi mana la lepas solat esok..." juih Isdina. Dia segera berlari ke dapur sebelum Iskandar sempat mengejarnya.

"Kak, pergi solat," Umi berkata kepada Isma. Isma tatap wajah Umi. Iskandar tiba-tiba menerpa.

"Umi, Angah balik tak, Umi?" Wajah Umi berubah terus. Ada keluh resah dalam nafasnya.

"Kalau dia masih ingat lagi jalan nak balik rumah... Baliklah dia..." suara Umi. Jauh hati.

Isma dalam bilik air, senyap. Bukan dia tidak tahu harapan Umi. Bukan dia tidak dapat duga hati Umi.

Wudhu' diambil sempurna. Segera Isma keluar. Mengejar Maghrib yang semakin di penghujung.

Sujud Isma lama. Hatinya dipagut rasa bercampur baur. Eil... Baliklah... Umi tunggu...

Sejurus selepas doa, suara Isdina kedengaran kuat bergurau.

"Eh, aku ingatkan siapa... Abang aku rupanya... Lainnya kau sekarang, Eil..." suara  Isdina mengusik. Isma lipat telekungnya rapi. Rasa hati yang bercampur-campur ditahan dari membuak-buak. Pintu dikuak.

"Kak..." Ismail menegur sepatah. Tangan Isma diraih. Dikucup. Ada air dihujung mata Isma. Isma tahan dari jatuh.

"Sihat?" Ismail menyoal lagi. Isma angguk. Dalam hati ada rasa lega tak terhitungkan. Namun, sepatah kata pun tak mampu diluahkannya. Segera dia memboloskan diri kembali mengadap pinggan mangkuk yang belum selesai dicuci.

"Kak..." Isdina memanggil. Isma menoleh.

"Meh laaa. Eil nak bagi 'something' "suara Isdina.

Isma basuh tangan. Lambat-lambat dia melangkah ke ruang tamu.

"Kak, duduk la sini... Eil ada benda nak cakap ni..." suara Ismail. Lambat-lambat.

Isma duduk di kerusi sebelah Ismail. Telinganya menangkap bunyi enjin kereta yang tidak dimatikan. Jangan cakap....

Keadaan jeda 2 minit.

Ismail tatap wajah Umi dan Baba lama.

"Eil nak cakap ni..." lambat-lambat Ismail menutur kata.

Isma menanti dalam debar.

"Eil nak bagitahu... yang Eil bukan balik seorang..."

Umi segera bangun. Isma pun. Baba terus berpaling.

"Umi, Baba..." suara Ismail tidak dihiraukan.

Isma menggigil. Menahan marah. Umi menahan air mata yang ingin jatuh. Isdina seolah sudah tahu dari mula. Iskandar yang hanya berusia 10 tahun terpinga-pinga.

"Umi..." Ismail cuba memujuk Umi mendengar kata-katanya.

Umi duduk kembali ke tempatnya. Kerusi bertentangan dengan Ismail.

"Eil dah kahwin dengan Eifa..."

Bagaikan guruh datang berguntur, Isma rasa mahu rebah.

"Kau sedar tak apa yang kau buat ni,  Eil?" Sabar Umi pecah.

"Umi pegang janji kau... Umi pegang kata-kata kau... Umi tunggu kau... Ini balasan kau pada Umi?" air mata berlinangan ke pipi putih Umi. Baba awal-awal lagi sudah angkat kaki.

"Umi... Eifa..."

"Kau jangan nak bela perempuan zina tu depan aku!!!" suara Umi memetir.

"Kau sanjung mak ayah dia... yang dah memalukan aku, mak kau... yang dah mengaibkan Baba, ayah kau... Kau jadi pak sanggup konon-konon nak membela nasib anak si Eifa tu... Aku tak sangka sampai macam ini sekali kau sanggup membelakangkan kami sekeluarga, Eil..." Umi bersuara kasar dalam esak tangisnya.

Isma menyapu air mata yang mengalir. Dia benci menerima kenyataan itu.

"Kau kahwin dengan perempuan tu... Tanpa aku... Tanpa ahli keluarga kau... Aku tak redha, Eil... Aku tak redha!!!"

"Kau tahu kenapa aku tak redha? Sebab, aku tak pernah pun pergi meminang si Eifa tu... Aku tak pernah pun buat apa-apa persiapan untuk perkahwinan kau..."

"Tup-tup... Kau balik... Kau nak bagitahu kat kami kau dah kahwin? Cukup Eil... Cukup... Keluarga dia dah pijak-pijak maruah keluarga kita... Dicacinya, dihinanya kita... Tapi, itulah orang yang kau sanjung... Yang kau puja... Yang kau anggap Mak Ayah kau... Tak apalah..."

"Aku ni bodoh... Tak pergi haji pun lagi macam mak ayah orang tu... Sudah, Eil... Aku tak sanggup nak ada menantu macam tu... Dia bukan siapa-siapa untuk aku!!!"

Suara Umi bertubi-tubi. Tak memberi ruang untuk Ismail berkata-kata.

"Umi, Eil..."

"Ismail..." Umi kesat air matanya.

"Aku masih anggap kau anak aku... Ismail anak Umi dan Baba seorang je... Tak ada yang lain... Yang depan Umi ni, bukan anak Umi..."

"Aku kenangkan kau... Aku ingat kau... Aku buatkan baju raya untuk kau... Biar kita semua dapat pakai sama-sama... Gembira di pagi raya..."

"Tapi, kalau beginilah cara kau... Tak payahlah... Tak Usah..."

"Aku kenangkan ini bulan baik... hari baik... Benda dah jadi, nak buat macam mana..."

"Tapi, sungguh!!! Untuk menerima dia masuk... jejakkan kaki dalam rumah ni... Aku tak mahu..."

"Aku tak tahu nak letak dia di mana... Sebagai apa..."

Umi pandang Baba yang masuk ke dalam bilik air.

"Kau tengok Baba kau... Dia memang tak terima... Dia takkan terima..."

"Umi, Eil balik dengan cara baik ni, Umi..." suara Ismail. Minta dikasihani.

"Kalau macam tu, dengan cara baik juga... Kau bawalah anak bini kau tu pergi... Aku tak mau tengok!!!"




*bersambung*


PeNoNtOn FiLeM...

Related Posts with Thumbnails

eN. bLoG pUnYa BiRtHdAy...

Daisypath Anniversary tickers