Esok raya... Hati Isma terdetik. Tangan masih ligat dengan pinggan mangkuk sisa berbuka tadi. Telinga tajam mendengar pengumuman raya. Sekilas senyum pahit digarit. Berlima... Bukan berenam... Keluhan kecil dilepaskan.
"Allahuakbar Allah~" suara si kecil Iskandar melaungkan takbir raya dari depan muka pintu kedengaran nyaring.
"Alang... esok raya kan?" soal Iskandar. Isdina yang sedang menyapu sampah pura-pura mencebik.
"Raya lusa... Bukan esok..." suara Isdina. Sengaja mengusik Iskandar.
"Alang tipu... Umi!!!!" Iskandar menjerit memanggil Umi.
"Raya bila, Umi?" soal Iskandar.
"Esok..." jawab Umi sepatah. Mata Umi menatap kuah lemak ikan kembung di atas meja. Isma menangkap renungan mata sayu Umi.
Iskandar sengih. Segera ke depan.
"Alang tipu!!!" juih Iskandar. Isdina mengekeh ketawa. Baba menggeleng-gelengkan kepala.
"Hahahaha... Semua orang tak boleh raya... Sebab baju Is je yang siap... Baju semua orang tak siap lagi..." ejek Iskandar.
"Elleh... Macam tak de baju lain... Lagipun, kita tak pergi mana la lepas solat esok..." juih Isdina. Dia segera berlari ke dapur sebelum Iskandar sempat mengejarnya.
"Kak, pergi solat," Umi berkata kepada Isma. Isma tatap wajah Umi. Iskandar tiba-tiba menerpa.
"Umi, Angah balik tak, Umi?" Wajah Umi berubah terus. Ada keluh resah dalam nafasnya.
"Kalau dia masih ingat lagi jalan nak balik rumah... Baliklah dia..." suara Umi. Jauh hati.
Isma dalam bilik air, senyap. Bukan dia tidak tahu harapan Umi. Bukan dia tidak dapat duga hati Umi.
Wudhu' diambil sempurna. Segera Isma keluar. Mengejar Maghrib yang semakin di penghujung.
Sujud Isma lama. Hatinya dipagut rasa bercampur baur. Eil... Baliklah... Umi tunggu...
Sejurus selepas doa, suara Isdina kedengaran kuat bergurau.
"Eh, aku ingatkan siapa... Abang aku rupanya... Lainnya kau sekarang, Eil..." suara Isdina mengusik. Isma lipat telekungnya rapi. Rasa hati yang bercampur-campur ditahan dari membuak-buak. Pintu dikuak.
"Kak..." Ismail menegur sepatah. Tangan Isma diraih. Dikucup. Ada air dihujung mata Isma. Isma tahan dari jatuh.
"Sihat?" Ismail menyoal lagi. Isma angguk. Dalam hati ada rasa lega tak terhitungkan. Namun, sepatah kata pun tak mampu diluahkannya. Segera dia memboloskan diri kembali mengadap pinggan mangkuk yang belum selesai dicuci.
"Kak..." Isdina memanggil. Isma menoleh.
"Meh laaa. Eil nak bagi 'something' "suara Isdina.
Isma basuh tangan. Lambat-lambat dia melangkah ke ruang tamu.
"Kak, duduk la sini... Eil ada benda nak cakap ni..." suara Ismail. Lambat-lambat.
Isma duduk di kerusi sebelah Ismail. Telinganya menangkap bunyi enjin kereta yang tidak dimatikan. Jangan cakap....
Keadaan jeda 2 minit.
Ismail tatap wajah Umi dan Baba lama.
"Eil nak cakap ni..." lambat-lambat Ismail menutur kata.
Isma menanti dalam debar.
"Eil nak bagitahu... yang Eil bukan balik seorang..."
Umi segera bangun. Isma pun. Baba terus berpaling.
"Umi, Baba..." suara Ismail tidak dihiraukan.
Isma menggigil. Menahan marah. Umi menahan air mata yang ingin jatuh. Isdina seolah sudah tahu dari mula. Iskandar yang hanya berusia 10 tahun terpinga-pinga.
"Umi..." Ismail cuba memujuk Umi mendengar kata-katanya.
Umi duduk kembali ke tempatnya. Kerusi bertentangan dengan Ismail.
"Eil dah kahwin dengan Eifa..."
Bagaikan guruh datang berguntur, Isma rasa mahu rebah.
"Kau sedar tak apa yang kau buat ni, Eil?" Sabar Umi pecah.
"Umi pegang janji kau... Umi pegang kata-kata kau... Umi tunggu kau... Ini balasan kau pada Umi?" air mata berlinangan ke pipi putih Umi. Baba awal-awal lagi sudah angkat kaki.
"Umi... Eifa..."
"Kau jangan nak bela perempuan zina tu depan aku!!!" suara Umi memetir.
"Kau sanjung mak ayah dia... yang dah memalukan aku, mak kau... yang dah mengaibkan Baba, ayah kau... Kau jadi pak sanggup konon-konon nak membela nasib anak si Eifa tu... Aku tak sangka sampai macam ini sekali kau sanggup membelakangkan kami sekeluarga, Eil..." Umi bersuara kasar dalam esak tangisnya.
Isma menyapu air mata yang mengalir. Dia benci menerima kenyataan itu.
"Kau kahwin dengan perempuan tu... Tanpa aku... Tanpa ahli keluarga kau... Aku tak redha, Eil... Aku tak redha!!!"
"Kau tahu kenapa aku tak redha? Sebab, aku tak pernah pun pergi meminang si Eifa tu... Aku tak pernah pun buat apa-apa persiapan untuk perkahwinan kau..."
"Tup-tup... Kau balik... Kau nak bagitahu kat kami kau dah kahwin? Cukup Eil... Cukup... Keluarga dia dah pijak-pijak maruah keluarga kita... Dicacinya, dihinanya kita... Tapi, itulah orang yang kau sanjung... Yang kau puja... Yang kau anggap Mak Ayah kau... Tak apalah..."
"Aku ni bodoh... Tak pergi haji pun lagi macam mak ayah orang tu... Sudah, Eil... Aku tak sanggup nak ada menantu macam tu... Dia bukan siapa-siapa untuk aku!!!"
Suara Umi bertubi-tubi. Tak memberi ruang untuk Ismail berkata-kata.
"Umi, Eil..."
"Ismail..." Umi kesat air matanya.
"Aku masih anggap kau anak aku... Ismail anak Umi dan Baba seorang je... Tak ada yang lain... Yang depan Umi ni, bukan anak Umi..."
"Aku kenangkan kau... Aku ingat kau... Aku buatkan baju raya untuk kau... Biar kita semua dapat pakai sama-sama... Gembira di pagi raya..."
"Tapi, kalau beginilah cara kau... Tak payahlah... Tak Usah..."
"Aku kenangkan ini bulan baik... hari baik... Benda dah jadi, nak buat macam mana..."
"Tapi, sungguh!!! Untuk menerima dia masuk... jejakkan kaki dalam rumah ni... Aku tak mahu..."
"Aku tak tahu nak letak dia di mana... Sebagai apa..."
Umi pandang Baba yang masuk ke dalam bilik air.
"Kau tengok Baba kau... Dia memang tak terima... Dia takkan terima..."
"Umi, Eil balik dengan cara baik ni, Umi..." suara Ismail. Minta dikasihani.
"Kalau macam tu, dengan cara baik juga... Kau bawalah anak bini kau tu pergi... Aku tak mau tengok!!!"
*bersambung*
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang bersifat menyakitkan hati, tidak akan dilayan... Terima kasih...